KOTA KINABALU, SABAH – Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) berharap kerajaan persekutuan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah dapat menyokong Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baru-baru ini diumumkan oleh Kerajaan Negeri Sabah yang sudah pun memasuki Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Presiden FCAS Tan Sri T.C Goh berkata ini termasuklah membenarkan aktiviti ‘dine-in’ di restoran atau mana-mana premis makan.
Dia menyatakan bahawa SOP untuk Fasa Kedua yang dikeluarkan MKN pada 5 Julai mewajibkan perniagaan seperti restoran, gerai dan trak makanan, penjaja tepi jalan, medan selera, pusat penjaja, atau kios dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam dengan syarat dibungkus, pandu lalu atau melalui kaedah penghantaran.
“Ini bermaksud ‘dine-in’ masih tidak dibenarkan dan jelas tidak sesuai dengan SOP santai yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Sabah…
“Oleh itu, kami berharap kerajaan persekutuan dapat menghormati dan mengesahkan keputusan kerajaan negeri baru-baru ini supaya rakyat, peniaga dan agensi penguatkuasaan tidak lagi keliru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Goh yang juga anggota Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) dan Presiden Gabungan Persatuan Sabah dan Labuan Hokkien (FSLHA) membalas pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis bahawa Sabah telah memenuhi tiga syarat utama yang membolehkannya masuk fasa PPN yang seterusnya.
Melihat Sabah adalah negeri ke-7 yang telah masuk fasa kedua ini, Goh yang juga Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) berharap kerajaan persekutuan dapat mula memberikan banyak vaksin ke Sabah.
Goh menekankan bahawa ini sangat penting agar Sabah dapat mencapai sasaran imuniti kelompok dengan secepat mungkin.
Dia juga berkata bahawa kadar vaksinasi adalah kunci dalam menentukan status perkembangan setiap negeri untuk maju ke fasa akhir PPN.
“Sabah perlu meningkatkan lagi kadar vaksinasi. Pada 6 Julai, kadar pendaftaran vaksinasi melalui MySejahtera hanya 33.09 peratus dan pada 7 Julai, hanya sejumlah 392, 408 individu atau 10 peratus dari jumlah populasi telah menyelesaikan vaksinasi dos pertama, sementara 265,407 orang atau 6.8 peratus telah mendapat vaksinasi dos kedua,” katanya.
Goh juga menyambut dan menyokong pengumuman Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor pada hari Khamis bahawa Sabah dijangka akan menerima 2.2 juta dos vaksin dalam dua bulan ini, iaitu 1 juta dos menjelang akhir bulan ini, dan 1.2 juta dos menjelang akhir bulan depan.
Selain itu, kerajaan negeri juga akan meningkatkan program vaksinasi di kawasan pedalaman dan oleh itu Goh berharap lagi kerajaan persekutuan dapat menunaikan janjinya untuk meningkatkan bekalan vaksin untuk Sabah tanpa gagal.