Gagal Kemuka Dokumen Pengenalan Diri, Niko Dari Sekolah Alternatif Ditahan Polis di...

Gagal Kemuka Dokumen Pengenalan Diri, Niko Dari Sekolah Alternatif Ditahan Polis di 1Borneo

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang pelajar sekolah alternatif dikenali sebagai Niko dilaporkan ditahan polis selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dijalankan dalam Ops Cegah Jenayah di One Borneo Mall, Jalan Sulaman, di sini, pada Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 3 petang pada 15 Mac oleh sepasukan anggota Taskforce Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang menjalankan operasi cegah jenayah susulan peningkatan kes kecurian di kawasan berkenaan.

Menurutnya, semasa operasi dijalankan, pihak polis menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut mendapati individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di Malaysia.

Suspek seterusnya ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Imigresen Malaysia berhubung status kewarganegaraan suspek.

Menurut Syed Lot, satu rakaman video berkaitan tangkapan tersebut turut tular di media sosial Facebook.

“Polis Daerah Kota Kinabalu akan terus mempergiatkan operasi cegah jenayah di lokasi-lokasi tumpuan awam bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.

Sementara itu, TawauKini melalui laman Facebooknya semalam, melaporkan individu yang ditahan berkenaan dipercayai seorang pelajar sekolah alternatif yang menyertai program kebajikan membeli barangan keperluan Aidilfitri untuk golongan asnaf di pusat membeli-belah tersebut.