LAHAD DATU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu berjaya menahan sebuah bot enjin sangkut warna hijau tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan di perairan rumah api Tanjung Labian kerana dipercayai cuba menyeludup masuk minuman keras dan rokok ke negara ini pagi Ahad.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, bot peronda Maritim Malaysia telah berjaya mengesan bot enjin sangkut tersebut melalui maklumat awam lebih kurang pukul 4.50 pagi.
“Menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia, bot suspek telah memecut laju ke arah daratan yang berdekatan namun berjaya ditahan.
“Walau bagaimanapun dua suspek berjaya terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran,” katanya melalui satu kenyataan.
Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan telah membawa sejumlah 24 botol dan dua tin minuman keras pelbagai jenama serta 70 kotak rokok dipercayai cuba diseludup masuk dari Filipina.
Katanya, kesemua minuman keras, rokok, bot dan sebuah enjin sangkut yang dianggarkan berjumlah RM20 ribu dirampas untuk tindakan siasatan di bawah Akta Kastam 1967.





