
KUALA LUMPUR – Bendix meraikan 100 tahun sebagai jenama yang menerajui teknologi brek automotif global dengan menaja Kenny Lee sebagai duta jenamanya di Malaysia yang akan beraksi di siri perlumbaan One Make Race SKILLDRVN.
Pengumuman itu dibuat melalui pejabatnya di Malaysia FMP Automotive (Malaysia) Sdn Bhd pada Ahad.
Pengurus Jualan dan Pemasaran Serantau Seow Kok Loi berkata penglibatan Bendix melangkaui penggunaan produk alas brek semata kerana pelumba akan menggunakan produk yang berkualiti.
Beliau turut memberi jaminan prestasi yang diperlukan untuk menahan keadaan brek yang luar biasa.
“Sebagai jenama berkualiti premium dan peneraju dalam segmen sederhana dan premium, produk Bendix diteruskan untuk memimpin dan berinovasi dalam teknologinya dari segi produk brek.
“Satu contoh utama adalah dengan menjadi yang pertama untuk memperkenalkan reka bentuk bentuk khas Stealth yang mengurangkan bunyi semasa brek dengan sangat ketara.
“Pad brek Bendix juga disertakan dengan apa yang dipanggil Blue Titanium Stripe dan ini telah menjadi peneraju industri untuk mengurangkan proses pembenaman pada pad brek yang membolehkan pemilik kereta mendapat manfaat prestasi segera sebaik sahaja dipasang,” katanya.
Diperkenalkan ke pasaran global pada tahun 1924, Bendix secara rasmi membuat kehadirannya di Malaysia pada tahun 1990.
Hari ini, rangkaian produk alas, kasut, cakera, pelapik, cecair dan pelincir brek memenuhi lebih daripada 95 peratus kenderaan penumpang, berprestasi, elektrik, pacuan empat roda, komersil serta motosikal.
Jenama itu juga membekalkan kepada pengeluar kereta PROTON dan Perodua selain mempunyai rangkaian luas 1,000 pengedar, pemborong, kedai alat ganti dan bengkel yang menyediakan perkhidmatan di seluruh negara.
Penajaan untuk Siri One Make Race SKILLDRVN yang memasuki tahun kedua akan menyaksikan 16 unit kereta lumba Suzuki Swift yang dipasang dengan alas brek dibekalkan Bendix yang akan bersaing dalam 6 pusingan di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.
Versi LITE baharu One Make Race (OMR Lite) juga diperkenalkan musim ini dengan hanya pengubahsuaian terhad kepada suspensi dan tayar dalam usaha mengurangkan lagi kos perlumbaan.





