Bantuan BAKTI, BUDI, BAIK Untuk Anak-Anak Sabah

Bantuan BAKTI, BUDI, BAIK Untuk Anak-Anak Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Para pelajar sekolah dan pelajar universiti di Sabah harus mengambil peluang untuk memohon bantuan-bantuan yang diberi oleh Kerajaan Negeri Sabah, khususnya Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI) dan Bantuan Ihsan Komputer (BAIK).

Program bantuan yang diumumkan oleh Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah ini merupakan komitmen kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk meningkatkan taraf Pendidikan negeri.

Bagi bantuan BAKTI, para pelajar akan menerima bantuan sebanyak RM200 setiap seorang dan antara syaratnya adalah pelajar-pelajar warganegara adalah berasal dari Sabah dan akan mengambil peperiksaan SPM, STPM dan STAM.

Untuk bantuan ini, pelajar tidak perlu membuat permohonan kerana mereka akan dikenalpasti dan dibayar melalui sekolah masing-masing.

Bagi bantuan BUDI pula, para pelajar akan menerima bantuan sebanyak RM2,000 seorang dan ia terbuka kepada pelajar melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Awam atau Swasta tahun 2021 yang diiktiraf kerajaan untuk kemasukan kali pertama di seluruh Malaysia.

Pemohon juga perlulah berumur tidak lebih 25 tahun, namun pelajar yang telah mendapat tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri atau mana-mana institusi lain adalah tidak layak mendapat bantuan ini.

Pelajar yang layak boleh melayari web https://budi.sabah.gov.my/login.php untuk membuat permohonan.

Bagi kedua-dua program bantuan ini, ibu bapa atau penjaga kepada pemohon haruslah dalam golongan B40 dan M40 dengan pendapatan RM5,000 dan ke bawah.

Sementara itu, pelajar yang akan mengambil peperiksaan SPM, STPM dan STAM juga boleh mendapat bantuan komputer menerusi program BAIK.

Syarat bantuan ini adalah hanya satu komputer sahaja yang akan diberi untuk satu Ketua Isi Rumah (KIR) dan ibu bapa atau penjaga perlulah berada dalam golongan e-Kasih Miskin Tegar.

Untuk program BAIK, pelajar tidak perlu memohon kerana mereka akan dikenalpasti oleh sekolah masing-masing yang juga akan mengagihkan bantuan itu.