AMPANG: TikTok Shop menjalinkan kerjasama strategik bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan menyalurkan peruntukan berjumlah RM180 juta bagi melaksanakan inisiatif Jualan Ihsan RAHMAH melalui platform digital berkenaan.
Inisiatif serantau itu direalisasikan menerusi program “Pesta JomLokal 2026: Lokal Jaga Lokal” yang dirasmikan hari ini, sekali gus menyaksikan TikTok Shop menjadi platform e-dagang pertama di Malaysia yang menyepadukan konsep Jualan RAHMAH ke dalam ekosistem digital secara meluas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelancaran program berkenaan adalah citra kebersamaan industri e-dagang dalam menggerakkan agenda pemerkasaan produk tempatan serta pengupayaan kos sara hidup rakyat.

Menurut beliau, program terbabit menghimpunkan usahawan tempatan yang terdiri daripada penjual, pencipta kandungan (creator), dan pelbagai pemegang taruh dalam usaha memperkukuh ekosistem perdagangan digital negara.
”Pesta JomLokal ini turut menterjemahkan salah satu teras utama gerakan Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) yang diluncurkan pada 27 Jun lalu, iaitu menjadikan usaha menyokong produk tempatan sebagai satu gerakan nasional melalui pendekatan ‘whole-of-nation’.
”Ia melibatkan kerjasama erat antara Kerajaan, platform digital, pemain industri, usahawan, pencipta kandungan dan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Melalui peruntukan bernilai RM180 juta tersebut, TikTok Shop akan memfokuskan kepada tiga ikhtiar utama bagi mengurangkan beban kewangan pengguna dan menyokong peniaga tempatan:
– Pengenalan Baucar Ihsan: Penawaran diskaun sehingga 30 peratus bagi barangan keperluan terpilih bagi membolehkan akses harga lebih berpatutan.
– Insentif Komisen Sifar: Pelaksanaan kadar komisen sifar peratus bagi 56 sub-kategori barangan serta pengurangan yuran platform bagi 39 sub-kategori lain sebagai usaha mengurangkan kos operasi penjual.
– Rebat Penghantaran: Pemberian rebat penghantaran sebanyak RM2 untuk setiap pesanan yang layak di seluruh negara bagi meminimunkan kos pembelian dalam talian yang ditanggung pengguna.
Tambah Armizan, pelaksanaan Jualan Ihsan RAHMAH digital ini membolehkan para pengguna membeli barangan keperluan yang melibatkan 75 unit simpanan stok (SKU) pada harga diskaun khas daripada peruncit terpilih seperti Hero Market dan KedaiFGV secara langsung di platform TikTok Shop.
Katanya, pendekatan ini membolehkan manfaat dirasai secara menyeluruh oleh semua rantaian pasaran melalui penawaran harga yang lebih kompetitif kepada pembeli, penjimatan kos operasi kepada usahawan, serta insentif yang merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.
KPDN juga menegaskan akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama pemain industri swasta demi memastikan agenda memartabatkan produk tempatan dan menjaga kebajikan sara hidup rakyat sentiasa mampan dan berkesan mendepani cabaran ekonomi semasa.






