KOTA MARUDU: Kerajaan Negeri terus memperkukuh pelaksanaan Dasar 1 Murid 1 Sukan (1M1S) bagi memastikan setiap murid berpeluang menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan, sekali gus melahirkan atlet berkualiti dan berdaya saing.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, pembangunan sukan sekolah kekal menjadi keutamaan kerajaan negeri sebagai platform mencungkil bakat atlet muda serta membentuk generasi yang berdisiplin dan mampu mengharumkan nama Sabah serta Malaysia di persada antarabangsa.
“Kecemerlangan murid hari ini tidak lagi diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata.
“Sebaliknya, kita mahu melahirkan generasi yang seimbang dari aspek Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek (JERI), dengan sukan menjadi antara wahana terbaik membentuk sahsiah, disiplin dan daya tahan,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Justinus Jalang, ketika merasmikan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Kota Marudu Tahun 2026, di sini.
James berkata, kejohanan sukan di peringkat sekolah bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi asas penting dalam melahirkan atlet yang berpotensi mengharumkan nama negeri dan negara pada kejohanan antarabangsa.
Beliau berkata, pembangunan sukan masa kini juga perlu bergerak seiring dengan kemajuan sains, teknologi dan inovasi menerusi penerapan elemen sains sukan, pemakanan, psikologi sukan, analisis prestasi serta teknologi latihan bagi meningkatkan prestasi atlet.
Katanya, usaha itu turut disokong menerusi Landskap Baharu Jabatan Pendidikan Negeri Sabah yang memberi penekanan terhadap kesaksamaan peluang pendidikan dan pembangunan bakat antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Cabaran geografi Sabah tidak boleh menjadi penghalang kepada kejayaan anak-anak kita. Sebaliknya, daerah seperti Kota Marudu mempunyai potensi besar melahirkan atlet berbakat yang mampu bersaing di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kota Marudu, jawatankuasa pengelola, guru, jurulatih, pengetua, guru besar, ibu bapa serta semua pihak yang terus komited membangunkan sukan sekolah.
Dalam pada itu, James menggesa semua atlet muda bertanding dengan semangat kesukanan, berintegriti dan menghormati peraturan pertandingan.
“Saya yakin suatu hari nanti akan lahir daripada kejohanan seperti ini atlet yang mampu mengharumkan nama Kota Marudu, Sabah dan Malaysia di pentas Sukan SEA, Sukan Asia mahupun Sukan Olimpik,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Pendidikan Daerah Kota Marudu, Halim Bidin @ Bibin, Pengetua SMK Bandau, Richard Samie Kiou, bersama pemimpin masyarakat, guru-guru, ibu bapa serta para atlet yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.






