TAWAU: Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 55 tahun ditahan polis selepas dipercayai memiliki dadah disyaki syabu seberat 30.41 gram dalam satu operasi di hadapan sebuah rumah tanpa nombor di Jalan Merotai Besar, Kampung Merotai Besar, di sini, pada Selasa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai menahan suspek selepas lelaki itu cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.
“Semasa operasi dijalankan, suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan cuba melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran polis. Walau bagaimanapun, suspek berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemukan sebuah beg plastik kecil berwarna hitam yang mengandungi tujuh paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 30.41 gram.
Suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan serta siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.






