Peti Sejuk Mayat Hospital Kota Marudu Rosak – Wetrom

Peti Sejuk Mayat Hospital Kota Marudu Rosak – Wetrom

0
SHARE
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda...

KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda merayu supaya Hospital Kota Marudu dan peralatan melibatkan rawatan untuk rakyat di Kota Marudu dapat dinaik taraf segera demi menyelamatkan nyawa pesakit di daerah itu.

Beliau berkata, antara perkara yang perlu diambil perhatian ialah bangunan Hospital Kota Marudu, peralatan untuk kegunaan pesakit seperti bekalan oksigen dan peti sejuk mayat yang telah rosak ketika ini.

“Saya ingin merujuk mengenai Hospital Kota Marudu yang bukan saja perlu dinaik taraf kerana bangunannya yang uzur tetapi juga keperluan untuk membaiki semua peralatan kritikal untuk kegunaan pesakit di daerah ini yang perlu dilaksanakan segera.

“Ini amat penting kerana ia melibatkan nyawa rakyat yang memerlukan rawatan segera dan peralatan hospital ada yang telah rosak.

“Contohnya baru-baru ini saya telah didatangi rakyat Kota Marudu yang memaklumkan mayat tidak disimpan di Hospital Kota Marudu sebaliknya dihantar ke Pitas dan Kudat kerana peti sejuk untuk mayat telah rosak dan ini menyusahkan rakyat.

“Selain itu terdapat juga kekurangan bekalan perubatan seperti bekalan oksigen, di mana baru-baru ini berlaku kemalangan dan saya difahamkan mangsa telah tiba di hospital namun selepas 40 minit baru menerima oksigen sehingga menyebabkan mangsa gagal diselamatkan dan jika ada oksigen dibekalkan dengan awal mungkin nyawa boleh diselamatkan,” katanya ketika berucap bagi membahaskan Bajet Sabah 2023, di sini

Tambah beliau lagi, doktor pakar juga harus ditempatkan di Hospital Kota Marudu bagi memudahkan pesakit mendapat rawatan selain perlu ditambah kenderaan ambulans untuk kegunaan pihak hospital.

“Kita di Kota Marudu tiada doktor pakar, yang ada hanya doktor yang baharu ataupun masih praktikal.

“Begitu juga mengenai kenderaan ambulans yang amat kritikal.

“Bayangkan jika ada kecemasan serentak bukan saja kemalangan tetapi dalam masa yang sama perlu menghantar pesakit ke Kota Kinabalu dan ini akan mengakibatkan nyawa rakyat di Kota Marudu terancam,” katanya.