Projek Keluli Hijau Bakal Beri Limpahan Ekonomi, Peluang Pekerjaan Di Sabah

Projek Keluli Hijau Bakal Beri Limpahan Ekonomi, Peluang Pekerjaan Di Sabah

0
SHARE
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyaksikan sesi Menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah diantara Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) dan Syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (ESTEEL Sabah) bertempat di Mini Auditorium Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah...(Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah)

KOTA KINABALU, SABAH – Projek Keluli Hijau atau Green Steel Project dengan nilai pelaburan sebanyak 4.39 USD bilion disifatkan bakal memberi limpahan ekonomi dan turut mencipta lebih banyak peluang pekerjaan di Sabah.

Syarikat berkaitan kerajaan, Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) hari ini telah mewujudkan perjanjian pajakan tanah dengan Syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (ESTEEL SABAH).

Pengerusi SOGDC, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan memaklumkan projek tersebut akan dilaksanakan dalam tiga fasa.

Menurutnya, fasa pertama akan bermula pada suku keempat tahun hadapan dan dijangka siap pada suku keempat tahun 2025.

Katanya, projek terbabit bakal mencipta sebanyak 10,000 sehingga 15,000 peluang pekerjaan semasa pembinaan dan selepas pembinaan iaitu semasa operasi) menggunakan 1,753 orang pekerja.

Bagi fasa kedua dan ketiga, dijangka akan mewujudkan sebanyak 5,455 peluang pekerjaan sepanjang tempoh operasi.

“Syarikat ini menyasarkan untuk membangunkan keseluruhan rantaian keluli hijau, teknologi hijau untuk mengurangkan pengurangan pelepasan karbon global antara tujuh hingga lapan peratus daripada jumlah pelepasan…

“Kini ESTEEL berusaha untuk membina taman industri keluli hijau bersepadu di dalam Taman Industri Minyak dan Gas Sabah (SOGIP) di Sipitang,” katanya.

Sidang media Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan selepas sesi Menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah diantara Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) dan Syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (ESTEEL Sabah) bertempat di Mini Auditorium Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah…(Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah)

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bertempat di Mini Auditorium Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian pajakan tanah disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Mewakili SOGDC semasa majlis ialah Abdul Rahman Dahlan selaku pengerusi dan pengarah urusannya, Datuk Harun Ismail manakala ESTEEL SABAH diwakili pengarah urusannya, Xu Yihang dan pengarah, Eng Shao Wei.

Sementara itu, Abdul Rahman juga berkata projek terbabit memerlukan perancangan yang rapi dan teratur oleh pihak kerajaan negeri agar ia berjalan dengan lancar.

Beliau menyatakan SOGIP akan menjadi penanda aras baru dalam pembangunan perindustrian di Sabah dan bakal menjadi destinasi pilihan pertama bagi pelabur di rantau Asia dan Asia Tenggara.