Pekerja Pencuci Kereta Ditahan Cabul Penuntut Wanita

Pekerja Pencuci Kereta Ditahan Cabul Penuntut Wanita

0
SHARE

TAWAU: Seorang pekerja pencuci kereta ditahan polis selepas disyaki mencabul seorang penuntut wanita dalam kejadian di kawasan PPRT Sri Apas Balung, di sini, pada November lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, mangsa berusia 21 tahun mendakwa suspek yang dikenalinya melalui aplikasi TikTok telah memeluk dan meraba bahagian tubuhnya sebelum mengugut untuk melakukan perbuatan lebih buruk jika mangsa enggan mengikut kemahuannya.

“Ketakutan dengan ugutan itu, mangsa melarikan diri dan membuat laporan polis kerana bimbang keselamatannya.

“Susulan laporan berkenaan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan suspek warga asing berusia lingkungan 20-an di kawasan Batu 3, Jalan Apas kira-kira jam 11 malam, Khamis lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

ACP Jasmin menegaskan bahawa pihak polis memandang serius kesalahan yang mengancam keselamatan wanita dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan jenayah sedemikian.

Menurutnya, tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan keselamatan masyarakat terjamin.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berinteraksi di media sosial, khususnya apabila berhubung dengan individu yang belum dikenali.

Dalam masa sama, masyarakat digalakkan melaporkan segera kepada polis jika berdepan ancaman keselamatan atau melihat aktiviti mencurigakan di kawasan mereka.