SANDAKAN: Program Pembersihan Pantai Tahunan Ke-11 anjuran Friends of Sea Turtles Education and Research (FOSTER) dengan tajaan Sabah Tourism Board (STB) baru-baru ini sekali lagi membuktikan komitmen berterusan terhadap pemuliharaan habitat pendaratan penyu di Pulau Libaran.
Program yang berlangsung Selasa lalu itu mendapat penglibatan aktif komuniti setempat selain sokongan kukuh kerajaan negeri. Tajaan STB merangkumi kerja pembersihan sepanjang 500 meter pantai, melibatkan lima lot pembersihan.
Penduduk yang menjadi pembersih pantai menerima elaun RM100 bagi setiap 100 meter kawasan dibersihkan setiap hari, sekali gus memberi manfaat ekonomi secara langsung dan memastikan keberkesanan operasi pembersihan.
Sejak penubuhan FOSTER pada 2014, program pembersihan pantai menjadi komponen penting dalam usaha pemuliharaan penyu. Pantai yang bersih memastikan penyu dapat mendarat dan bertelur tanpa halangan.
Para pembersih pantai dilengkapi peralatan lengkap seperti sorong tangan, penyodok besi dan penyapu daun bagi memastikan kerja lebih tersusun dan berkualiti.
Setiap penaja turut diberi penghargaan melalui paparan logo di kawasan tajaan, selain menerima laporan kemajuan suku tahunan yang merangkumi rekod pembersihan dan jumlah sisa dikutip.
Sepanjang lebih sedekad menjalankan kerja pemuliharaan, FOSTER berjaya melepaskan lebih 48,000 tukik ke laut. Presiden FOSTER, Alexander Yee, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus menyokong misi tersebut.
“Kejayaan ini hasil kerjasama pelbagai pihak. Kami berharap lebih ramai rakan korporat dan agensi kerajaan tampil membantu memastikan kelangsungan habitat penyu di Libaran,” katanya.
Mulai 2026, FOSTER akan memperkukuh program pendidikan melalui bengkel komuniti, sesi kesedaran pelajar dan pelancong bagi memberi pemahaman lebih mendalam mengenai ancaman terhadap penyu seperti pencemaran plastik dan perubahan iklim.
Dalam masa sama, FOSTER turut mengumumkan penganjuran Edisi Ke-5 Sepilok Jazz pada 2026, acara seni bersifat amal yang menyumbangkan 100 peratus hasil jualan tiket kepada usaha pemuliharaan.
Alexander berkata, Sepilok Jazz merupakan pendekatan kreatif yang menggabungkan seni dan pemuliharaan.
“Melalui platform seperti ini, masyarakat dapat dihubungkan secara lebih bermakna dengan isu alam sekitar,” katanya.
FOSTER yakin sinergi antara kerja lapangan, program kesedaran dan sokongan melalui aktiviti komuniti akan memperkukuh usaha melindungi populasi penyu Libaran untuk jangka panjang.
FOSTER turut merakamkan penghargaan kepada Sabah Tourism Board atas komitmen berterusan dalam memastikan kebersihan pantai dan kelestarian habitat penyu terus terpelihara.






