TOKYO, JEPUN – Ketua Parti Pembangkang Utama Jepun mengumumkan peletakan jawatannya selepas kalah pilihan raya baru-baru ini.
Beliau gagal memanfaatkan situasi serta ketidakpuasan rakyat terhadap tindak balas kerajaan menangani pandemik COVID-19.
Memetik laporan AFP, Yukio Edano yang mengetuai puak pembangkang terkemuka Jepun, Parti Demokratik Berperlembagaan Jepun (CDP) yang ditubuhkan pada 2017, memohon maaf atas kekalahan teruk pilihan raya yang mana parti itu kehilangan 14 kerusi dengan hanya menang 96 kerusi.
Susulan itu, atas rasa tanggungjawab beliau meletak jawatan, hari ini.
“Kami mampu mewujudkan struktur yang menawarkan pilihan politik, tetapi keputusan pilihan raya menyaksikan ahli kami tidak layak kembali dan bilangan kerusi kami juga berkurang. Keputusan ini sangat mengecewakan,” katanya sambil mengakui ia adalah kerana kelemahan dirinya.
Edano yang menjadi ahli Parlimen sejak 1993, berkhidmat dalam kerajaan susulan kemenangan Parti Demokratik Jepun yang juga kerajaan paling singkat iaitu antara 2009 hingga 2012 dan menjadi anggota Kabinet selepas tsunami 2011 dan kemusnahan nuklear Fukushima.
Beliau menubuhkan CDP pada 2017 dengan parti itu bergabung dengan satu kumpulan pembangkang utama tahun lalu, namun tidak berjaya mengukuhkan kedudukan mereka.
Pada pilihan raya yang diadakan Ahad lalu, Parti Demokratik Liberal (LDP) menang majoriti di bawah pimpinan baharu, Fumio Kishida.
Keputusan akhir dijangka hujung minggu ini, namun LDP dan parti gabungan Komeito memenangi 293 daripada 435 kerusi dewan rakyat, mencatatkan sedikit penurunan berbanding keputusan sebelumnya 305.
Kejutan hasil undian itu bagaimanapun berpihak kepada Parti Nippon Ishin (Inovasi Jepun) sebuah parti yang berpangkalan di Osaka yang memenangi 41 kerusi, meningkat daripada hanya 11 kerusi sebelum ini.
Parti yang menyokong kerajaan kecil, penyahperaturan dan pemotongan cukai, menjadi puak ketiga terbesar di Parlimen dan sudah menolak menyertai kerajaan gabungan.





