KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melaksanakan Operasi Pembersihan Parit Komersial di sekitar pusat Bandaraya Kota Kinabalu sebagai langkah proaktif memastikan persekitaran bandar sentiasa bersih, teratur dan lestari.
DBKK dalam kenyataan semalam berkata, operasi yang dilaksanakan melalui Jabatan Landskap DBKK itu dijalankan dari 20 hingga 23 Disember 2025, dengan fokus utama mencegah masalah saliran tersumbat akibat pembuangan sampah sarap serta sisa pepejal komersial.
“Skop pembersihan melibatkan tiga kawasan utama iaitu Segama, Sinsuran dan Kampung Air yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi berlakunya sumbatan parit.
“Operasi pembersihan parit komersial ini akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa dan diperluaskan ke kawasan lain termasuk kawasan Bandaran, Jalan Gaya serta lokasi tumpuan awam yang lain,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, DBKK turut mengingatkan orang awam dan para penjaja agar sentiasa menjaga kebersihan persekitaran bandar raya dengan membuang sampah di tempat yang telah disediakan.
DBKK menegaskan kebersihan bandar raya merupakan tanggungjawab bersama demi kesejahteraan dan keselesaan semua warga Kota Kinabalu.






