Bayi Lelaki Cukup Sifat Ditemui Masih Berdarah Dalam Tandas Wanita di Bongawan

Bayi Lelaki Cukup Sifat Ditemui Masih Berdarah Dalam Tandas Wanita di Bongawan

0
SHARE

PAPAR: Seorang bayi lelaki cukup sifat yang dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam keadaan masih berdarah di dalam tandas wanita sebuah stesen minyak di Bongawan, di sini, awal pagi 1 Januari 2026.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu, penemuan bayi berkenaan dibuat oleh seorang wanita yang kemudiannya memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima maklumat awal mengenai kejadian itu daripada seorang wanita berusia 21 tahun sebelum sepasukan polis yang diketuai pegawai penyiasat digerakkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, polis mendapati seorang bayi lelaki cukup sifat berada di dalam tandas wanita stesen minyak berkenaan dalam keadaan masih berdarah.

“Bayi tersebut kemudian dibawa ke Hospital Papar untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil serta di bawah pemantauan pihak hospital,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, hasil siasatan awal turut membawa kepada penahanan seorang wanita yang disyaki ibu kepada bayi berkenaan bagi membantu siasatan.

“Wanita terbabit ditahan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. Namun siasatan masih diteruskan dan kes ini sedang diteliti secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.