KOTA KINABALU: Inisiatif Dapur Siswa yang diperkenalkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilihat berupaya membantu meringankan kos sara hidup pelajar kurang berkemampuan, khususnya dalam menghadapi peningkatan harga barangan dan makanan ketika ini.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, James Ratib berkata, program itu memberi manfaat besar kepada mahasiswa yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah, terutama pelajar luar bandar yang berdepan kekangan kewangan sepanjang pengajian mereka.
Menurutnya, setakat ini Dapur Siswa memberi manfaat kepada kira-kira 3,500 pelajar yang menetap di dua kolej kediaman utama, iaitu Kolej Tun Fuad yang dihuni sekitar 1,600 pelajar dan Kolej Tun Mustapha dengan kira-kira 1,800 pelajar.
“Sekurang-kurangnya melalui dapur ini, pelajar dapat menikmati makanan asas seperti nasi yang disediakan oleh sukarelawan. Ini membantu mereka mengurangkan perbelanjaan harian, lebih-lebih lagi apabila harga makanan kini semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Dapur Siswa UMS hari ini, sambil memuji usaha universiti berkenaan memformalkan inisiatif kebajikan yang memberi tumpuan kepada penyediaan makanan asas kepada pelajar.
James turut mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam bentuk bahan mentah atau sumbangan kewangan bagi memastikan kelangsungan program berkenaan.
Beliau berkata, sebagai tanda sokongan awal, beliau telah menyumbangkan RM30,000 bagi membantu pelaksanaan Dapur Siswa, selain membawa beberapa GLC di bawah kementeriannya untuk turut sama menyokong inisiatif tersebut.
“Kerajaan negeri akan terus membantu dan menyokong program ini. Kita juga akan menggalakkan lebih banyak GLC serta syarikat berkemampuan tampil menyumbang demi kebajikan mahasiswa,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansur berkata, seramai kira-kira 80 pelajar tampil secara sukarela untuk menyediakan makanan pada waktu pagi dan petang.
Beliau berkata, program Dapur Siswa mula diformalkan pada November 2025 walaupun inisiatif sama telah dijalankan sebelum ini secara tidak rasmi, bagi memastikan pelajar mengetahui kemudahan yang disediakan di kolej kediaman.
Menurutnya, UMS turut merancang memperluaskan pelaksanaan Dapur Siswa ke kolej kediaman lain termasuk di Labuan, Kampus Pertanian Lestari Sandakan serta Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae yang menempatkan lebih 3,000 pelajar, dengan aspek keselamatan dipantau melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).






