TAWAU – Pihak polis sedang mengesan lelaki dikatakan melibas empat kenderaan menggunakan senjata tajam di tempat letak kenderaan di Taman Semarak, Tawau, hari ini.
Menurut laporan Harian Metro, dipetik sebagai berkata Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus bahawa, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu.
“Segala maklumat berkaitan kes itu akan diambil untuk tindakan susulan.
“Usaha mengesan suspek kini masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kejadian 4.30 pagi itu turut dirakam penduduk di taman perumahan berkenaan dan kini tular di media sosial Facebook dan WhatsApp sejak pagi tadi.
Melalui rakaman tersebut, jelas menunjukkan seorang lelaki bertindak agresif dengan melibas sanjata tajam pada kenderaan yang diletakkan di kawasan berkenaan.
Sementara itu, seorang penduduk di taman perumahan berkenaan, Abd Sani Aziz, 70, berkata, ketika kejadian dia sedang memandu kenderaanya ke masjid untuk solat Subuh.
“Ketika menuju ke Masjid, saya melihat tiga lelaki di tepi jalan lalu memperlahankan kenderaan kerana terdapat bonggol di hadapan.
“Tiba-tiba, seorang daripada mereka melibas senjata tajam ke arah kenderaan saya dan terkena pintu di bahagian pemandu.
“Saya terus memecut ke masjid kerana bimbang hal lebih buruk berlaku,” katanya ketika dihubungi.