KOTA KINABALU: Parti Bumi Kenyalang (PBK) menyifatkan kenyataan bekas Menteri Undang-Undang, Zaid Ibrahim berhubung kedudukan politik Sabah dan Sarawak sebagai berasaskan ketakutan serta mengelirukan.
Presidennya, Voon Lee Shan berkata, dakwaan kononnya wujud “Borneo Bloc” yang bertujuan menguasai Malaya tidak mencerminkan realiti politik sebenar.
Menurutnya, Sabah dan Sarawak selama ini berjuang secara berasingan untuk mempertahankan hak yang dijamin ketika pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, dan bukannya bertindak sebagai satu blok politik untuk mendominasi mana-mana pihak.
Beliau turut menegaskan Malaysia ditubuhkan sebagai perkongsian antara Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura, bukan peluasan Malaya dengan nama berbeza.
Voon menjelaskan bahawa walaupun Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen dan Sabah 25 kerusi, jumlah keseluruhan 56 kerusi itu masih tidak mencukupi untuk menyekat kelulusan undang-undang Persekutuan yang memberi kesan kepada kedua-dua negeri.
Katanya, kedudukan itu mengehadkan keupayaan Sabah dan Sarawak dalam menentukan hala tuju dasar nasional, termasuk pembentukan Kabinet dan kuasa eksekutif yang menurutnya masih tertumpu di Malaya.






