Lewat siap Lebuhraya Pan Borneo Sabah, 2 kontraktor dipenalti RM31.8 juta

Lewat siap Lebuhraya Pan Borneo Sabah, 2 kontraktor dipenalti RM31.8 juta

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenakan penalti ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) berjumlah RM31.8 juta terhadap dua kontraktor bagi projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah yang gagal menyiapkan kerja dalam tempoh ditetapkan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata sebanyak 23 pakej kerja dikenal pasti lewat berbanding jadual asal pelaksanaan projek infrastruktur mega berkenaan.

“Kelewatan itu dipengaruhi beberapa faktor utama termasuk keadaan cuaca yang tidak menentu, cabaran pengambilan balik tanah, isu pengalihan utiliti serta prestasi kontraktor di tapak.

“Kementerian memahami isu ini menjadi kebimbangan berhubung kesan kelewatan projek terhadap mobiliti rakyat, kos logistik dan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Edward Linggu Bukut mengenai jumlah pakej LPB Sabah yang lewat siap melebihi jadual asal dan nilai penalti LAD dikenakan kepada kontraktor terlibat.

Ahmad ketika mengulas perkembangan status terkini berkata fasa 1A yang melibatkan 16 pakej kerja telah mencapai kemajuan 86.6 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2027 manakala fasa 1B merangkumi 19 pakej kerja, kini pada tahap 13.56 peratus dan disasarkan siap pada suku keempat 2028.

“Untuk kerja-kerja di jajaran fasa 1B, ia baru sahaja dimulakan secara intensif selepas isu pengambilan balik tanah berjaya diselesaikan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri,” katanya.

Bagi mengurangkan gangguan kepada pengguna jalan raya, beliau berkata kementerian melaksanakan penyelenggaraan rutin yang lebih agresif termasuk pembaikan jalan rosak serta mewajibkan kontraktor menyediakan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) yang lebih efektif.

Selain itu, jajaran yang telah siap akan dibuka lebih awal sebagai laluan alternatif untuk mengurangkan kesesakan tanpa perlu menunggu keseluruhan fasa disiapkan.