Jalan Makin Teruk, Penduduk Ranau Harap Pan Borneo WP33 Segera Siap

Jalan Makin Teruk, Penduduk Ranau Harap Pan Borneo WP33 Segera Siap

0
SHARE

RANAU: Penduduk di daerah ini berharap projek Lebuhraya Pan Borneo bagi Pakej WP33 yang melibatkan laluan dari Kampung Lumou Baru ke Kampung Toupos sepanjang 19.5 kilometer dapat disiapkan segera selepas terpaksa berdepan pelbagai kesukaran akibat keadaan jalan yang semakin rosak sepanjang tempoh pembinaan.

Pembinaan projek di daerah Ranau itu didakwa memberi kesan langsung kepada pengguna jalan raya serta penduduk setempat apabila keadaan jalan semakin berlubang dan rosak, khususnya akibat kekerapan laluan kenderaan berat yang keluar masuk ke tapak projek.

Penduduk Kampung Lumou Baru, Arnold Modinik berkata, keadaan jalan kini jauh berbeza berbanding sebelum ini sehingga meningkatkan kos penyelenggaraan kenderaan.

Katanya, walaupun sebelum ini terdapat kerosakan kecil, namun selepas pembinaan bermula, jumlah lubang semakin bertambah dan menjejaskan kenderaan penduduk.

“Kalau dulu ada lubang tetapi tidak banyak. Sekarang semakin bertambah, mungkin disebabkan lori berat yang kerap lalu di sini.

“Kerosakan tayar dan komponen seperti ‘lower arm’ kerap berlaku. Dalam tempoh enam bulan hingga setahun sudah perlu dibaiki dan ia melibatkan kos yang tinggi,” katanya.

Beliau berharap projek berkenaan dapat dipercepatkan memandangkan kebanyakan penduduk kampung bukan dalam kalangan berkemampuan untuk menanggung kos pembaikan kenderaan yang kerap.

Masalah sama turut dihadapi peniaga tempatan. Pembekal ikan, Rafi Alman berkata, keadaan jalan rosak menyebabkan penghantaran menjadi lewat selain kerap berdepan masalah seperti tayar pancit dan komponen kenderaan cepat haus.

“Cabaran utama ialah lewat sampai ke destinasi. Kadang-kadang tayar pancit dan komponen seperti bush serta pad brek perlu ditukar dengan kos sekitar RM200 hingga RM300.

“Kami berharap apabila Pan Borneo siap nanti, perjalanan akan menjadi lebih lancar,” katanya.

Di Kampung Toupos pula, penduduk berdepan laluan berlumpur terutama ketika hujan apabila air mengalir dari kawasan lebih tinggi ke jalan kampung.

Penduduk, Alex Lajurus Guntas berkata, keadaan itu menyukarkan pergerakan harian serta menjejaskan kehidupan penduduk kampung.

Sementara itu, Ketua Kampung Toupos, Inik @ Rusiah Marid menjelaskan sebelum pembinaan projek berkenaan, keadaan jalan masih boleh digunakan walaupun tidak sempurna.

Katanya, aliran air dan laluan kenderaan berat menyebabkan jalan berbatu menjadi berlumpur dan rosak sehingga menyukarkan kenderaan kecil keluar masuk kampung.

Beliau sekali lagi berharap pihak berkaitan dapat mempercepatkan penyiapan projek agar kemudahan jalan raya yang lebih baik dapat dinikmati penduduk setempat dalam masa terdekat.