Kekalkan Kestabilan Politik Demi Pembangunan Sabah – Masiung 

Kekalkan Kestabilan Politik Demi Pembangunan Sabah – Masiung 

0
SHARE

TONGOD: Sabah yang sebelum ini melalui tiga fasa peralihan kerajaan dan tiga Ketua Menteri dalam tempoh dua penggal merupakan gambaran jelas betapa tidak stabilnya landskap politik negeri ini, yang akhirnya memberi kesan besar terhadap pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, menegaskan bahawa kestabilan politik perlu dikekalkan agar segala perancangan pembangunan kerajaan negeri dapat diteruskan tanpa gangguan akibat perebutan kuasa.

“Kita harus leraikan segala bentuk perebutan kuasa politik dan berjuang sebagai satu keluarga besar merangkumi warga belia, penduduk kampung, penjawat awam, pekerja sendiri serta swasta untuk merawat dan memperbaiki semula negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Bola Sepak Tertutup 9 Sepasukan Piala DMB yang disertai 32 pasukan di Padang Permainan Kampung Sanan dan Semundu di sini, semalam.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyerahkan 55 set jersi kepada pasukan bertanding serta melancarkan upacara pelepasan 155 atlet remaja Tongod yang akan mewakili daerah itu dalam Kejohanan Sukan Sabah (SAGA) bermula 11 Oktober ini di Tawau.

Masiung yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menjelaskan, kekerapan pertukaran kerajaan negeri merupakan antara punca utama kelewatan dan kegagalan pelaksanaan projek pembangunan yang telah dirancang.

“Bayangkan pelan pembangunan lima tahun akhirnya tergendala apabila kerajaan bertukar, Ketua Menteri bertukar, pegawai kerajaan bertukar, dan dasar baharu diperkenalkan. Belum sempat dilaksanakan, kerajaan bertukar lagi, akhirnya rakyat yang menanggung kerugian,” ujarnya.

Beliau turut menggesa golongan muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan sentimen politik berbaur hasutan yang dimainkan oleh pihak tertentu semata-mata untuk kepentingan kuasa.

Katanya, sudah tiba masanya anak muda Sabah berfikir secara positif dan bersatu padu bagi mengekalkan kerajaan sedia ada demi kesinambungan pembangunan negeri.

Masiung turut membandingkan kestabilan politik di Sarawak yang tidak pernah bertukar kerajaan dalam tempoh lebih 60 tahun, hanya bertukar kepimpinan utama apabila tiba waktunya.

“Politik mereka stabil. Sebaliknya di Sabah, kita sudah bertukar kerajaan sebanyak 16 kali. Sebab itu Sarawak terus maju kerana rakyatnya berfikir jauh ke hadapan, tidak mudah digoyahkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu pembinaan Kompleks Sukan Tongod yang tertangguh akibat kegagalan kontraktor terdahulu menyiapkan projek mengikut jadual.

Menurutnya, kelewatan itu kini dijadikan modal oleh pihak pembangkang untuk memburukkan kerajaan menjelang pilihan raya.

“Pada awalnya, saya bercadang kompleks sukan ini dijadikan pusat kecemerlangan sukan di pedalaman. Namun disebabkan kelemahan kontraktor, pembinaan tertangguh. Jika kerajaan bertukar lagi, sudah tentu polisi baharu akan diperkenalkan dan akhirnya kompleks ini mungkin menjadi gajah putih,” tegasnya.

Beliau berharap rakyat Tongod dan seluruh Sabah terus menyokong kestabilan politik yang dipelopori oleh kerajaan pimpinan sedia ada demi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara konsisten dan berterusan.