ISTANBUL: Seorang lelaki di Istanbul, Turki berdepan detik mengerikan apabila diserang oleh anjing peliharaannya sendiri daripada baka pit bull selepas membawa keluar haiwan berkenaan tanpa sebarang langkah keselamatan seperti muncung (muzzle) dan tali pengikat (leash) yang diwajibkan oleh undang-undang tempatan.
Menurut laporan Haberler.com, kejadian itu berlaku di sebuah kawasan kejiranan apabila anjing berkenaan tiba-tiba bertindak ganas dan menggigit kuat lengan pemiliknya.
Jeritan mangsa meminta tolong kedengaran jelas bergema di sepanjang jalan, menarik perhatian penduduk setempat yang segera keluar membantu.
Rakaman video tular di media sosial menunjukkan suasana panik ketika lelaki berkenaan bergelut melepaskan diri sambil seorang individu dilihat menyiram air ke arah anjing itu bagi menghentikan serangan.
Mangsa akhirnya berjaya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian.
Sementara itu, Pihak berkuasa tempatan mengesahkan bahawa baka pit bull termasuk dalam kategori haiwan berbahaya di bawah Artikel 3 Undang-Undang Perlindungan Haiwan Sementara No. 5199.
Undang-undang itu dengan jelas melarang pemilik membawa keluar haiwan tersebut tanpa alat keselamatan yang sesuai, selain mengharamkan kehadiran mereka di kawasan awam seperti taman dan tempat permainan kanak-kanak.
Pegawai keselamatan haiwan di Istanbul kini menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan sama ada pemilik terbabit melanggar peraturan sedia ada.
Mangsa yang cedera parah pada bahagian tangan telah dibawa ke hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan.
Pihak berkuasa turut mengingatkan pemilik haiwan berisiko tinggi agar sentiasa mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang dan memastikan keselamatan masyarakat terpelihara.






