KOTA KINABALU: Dua pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah mengecam Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal kerana menyamakan bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza dengan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.
Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah, menyifatkan kenyataan Shafie sebagai dangkal dan mengelirukan, sambil menegaskan bahawa isu kemanusiaan dan kedaulatan negeri adalah perkara berbeza sama sekali.
“Bantuan ke Gaza berasaskan nilai kemanusiaan dan solidariti antarabangsa, manakala isu PATI melibatkan keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan rakyat Sabah.
“Menyamakannya hanya menunjukkan kekeliruan seorang bekas ketua menteri yang sepatutnya faham dasar negara,” katanya memetik laporan FMT.
Ketua Bahagian Tambunan, Datuk Victor Paul Paut pula menegaskan bahawa kenyataan Shafie menunjukkan kegagalan beliau memahami penderitaan rakyat akibat lambakan PATI, satu isu yang tidak ditangani sewaktu beliau sendiri mentadbir negeri.
“Seorang pemimpin Sabah sejati mempertahankan negeri ini, bukan menyamakan pesalah imigresen dengan mangsa perang,” tegasnya.
Baru-baru ini, tular satu video menunjukkan Shafie dalam satu majlis Warisan berkata kerajaan sepatutnya membantu pendatang tanpa izin di Sabah, sama seperti bantuan RM100 juta yang diberikan kepada Gaza.
Beliau mendakwa individu yang tidak memiliki MyKad atau pasport juga wajar menerima bantuan kerana mereka turut menyumbang kepada ekonomi tempatan melalui aktiviti menangkap ikan dan bertani bagi membekalkan makanan kepada rakyat Sabah.






