150 Peniaga Dapat Manfaat Tamu Mingguan, Pasar Malam Pusat Kebudayaan Rungus Sabah

150 Peniaga Dapat Manfaat Tamu Mingguan, Pasar Malam Pusat Kebudayaan Rungus Sabah

0
SHARE
Joachim
Joachim melawat tapak tamu mingguan Pusat Kebudayaan Rungus Sabah ( Sumber Foto: Ihsan KKTP )

KUDAT, SABAH – Seramai 150 peniaga mendapat manfaat daripada pewujudan Tamu Mingguan dan Pasar Malam di Pusat Kebudayaan Rungus Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam memuji uşaha yang dilaksanakan oleh Presiden Persatuan Rungus Bersatu Sabah (PRBS), OKK Makinsos Nawai dan semua AJK pelaksana dalam membuka tapak tamu mingguan dan pasar malam berkenaan.

“Saya berbangga melihat tamu mingguan ini. Bagi saya, ini satu aktiviti yang boleh meningkatkan ekonomi di sini dan kita melihat pelbagai jualan dijual di tamu ini.

“Apa yang menarik di sini ialah tiada sewa dikenakan kepada peniaga di tapak tamu itu,” katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Tamu Mingguan dan Pasar Malam itu, kelmarin (13 Sept).

Tamu mingguan itu diadakan pada setiap hari Jumaat, bermula dua petang sehingga lapan malam.

Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, beliau juga telah mengarahkan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kota Marudu untuk melihat keperluan dan berbincang bersama dengan pihak pelaksana program tersebut.

“Saya dimaklumkan bahawa konsep perniagaan yang dijalankan adalah berkonsepkan kawasan terbuka cukup hanya dengan kanopi peniaga masing-masing,” katanya.

Beliau juga menyeru semua penduduk setempat mengambil peluang ini bagi meningkatkan taraf ekonomi masing-masing dan tidak bergantung semata-mata kepada bantuan kerajaan.

Beliau meminta agar para pemimpin dan rakyat di Kudat untuk terus bersatu dan menyokong Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Bagi DUN Matunggong, PBS akan dipilih menjadi calon GRS. Marilah kita bersama-sama bersatu menyokong dan memenangkan Kerajaan GRS. Kita akan terus berjuang dan bersama-sama merancang agenda pentadbiran politik dan pembangunan Sabah,” katanya.