Tiga Warga Indonesia Maut, Tiga Cedera Saga Terbabas di Jalan Lahad Datu–Sandakan

Tiga Warga Indonesia Maut, Tiga Cedera Saga Terbabas di Jalan Lahad Datu–Sandakan

0
SHARE

LAHAD DATU: Tiga warga Indonesia maut manakala tiga lagi cedera parah selepas kereta Proton Saga BLM yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Batu 18, Jalan Sandau, Lahad Datu–Sandakan petang kelmarin.

Menurut Laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.05 petang sebelum tiba di lokasi 30 minit kemudian.

“Enam mangsa terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki tersepit di dalam kenderaan sebelum dikeluarkan menggunakan peralatan khas.

“Tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala tiga lagi yang cedera parah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan,” katanya seorang jurucakap agensi.

Ketiga-tiga mangsa yang maut dikenal pasti sebagai dua wanita berusia 36 dan 38 tahun serta seorang lelaki berusia 41 tahun, semuanya warga Indonesia.

Sementara itu, tiga lagi mangsa yang cedera, dua wanita dan seorang lelaki, masing-masing warga Indonesia berusia antara 40 hingga 46 tahun, kini dirawat di hospital.

Operasi yang melibatkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu bersama bantuan KKM dan polis tamat sepenuhnya pada jam 5.27 petang.