KOTA KINABALU: Ahli Jawatankuasa DAP Sabah, Yap Wui Lip menempelak dakwaan Datuk Seri Shafie Apdal bahawa Semporna pernah menjadi bandar terbersih ketika beliau menjadi Ketua Menteri.
Yap menyifatkan kenyataan Shafie sebagai “pembohongan terang-terangan” dan penghinaan terhadap kebijaksanaan rakyat.
Yap berkata, laporan media sejak 2018 hingga 2019 menunjukkan Semporna bergelut dengan isu sampah dan pencemaran, termasuk liputan oleh media antarabangsa yang menggambarkan bandar itu sebagai “syurga yang tertimbus sampah.”
“Shafie bukan sahaja menafikan fakta, malah cuba menyalahkan pihak berkuasa tempatan. Ini bukan sifat pemimpin berintegriti,” katanya.
Beliau turut mengingatkan janji Shafie pada 2018 untuk menjadikan Semporna bandar paling bersih menjelang Mac 2019, namun gagal ditunaikan.
“Sebaliknya, Semporna menjadi bahan jenaka pelancong luar kerana masalah sampah yang berlarutan,” tambahnya.
Yap menegaskan, selepas 30 tahun menjadi Ahli Parlimen Semporna dan 25 tahun dalam kerajaan termasuk sebagai Menteri Persekutuan dan Ketua Menteri, Shafie masih gagal menyelesaikan isu asas seperti kebersihan, air dan infrastruktur.
“Bagaimana rakyat boleh percaya beliau mampu membawa Sabah ke arah kemajuan jika masalah sampah pun tidak mampu diselesaikan?” soal Yap.
Beliau turut menegur ADUN Warisan Sri Tanjong, Justin Wong, kerana mempertahankan Shafie dan memutarbelit fakta politik.
“Selepas lima tahun menjadi wakil rakyat, beliau sepatutnya faham tanggungjawab kepada rakyat, bukan sekadar menjaga hati ketua politiknya,” katanya.
Yap menyeru pengundi Sabah agar menolak politik lama dan memberi mandat lebih besar kepada DAP untuk membawa perubahan sebenar melalui dasar “Tiga Baik” iaitu kehidupan baik, ekonomi baik dan penjagaan rakyat yang baik.






