LAHAD DATU: Dua kanak-kanak perempuan berusia 12 dan 16 tahun dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas hampir lemas ketika mandi-manda di Pantai Rindu, tengah hari Sabtu.
Kejadian berlaku sebelum pasukan bomba tiba di lokasi, apabila kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan oleh ahli keluarga yang turut berada di pantai.
“Mangsa telah diberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) oleh keluarga sebelum dihantar ke hospital menggunakan kenderaan persendirian.
“Kedua-duanya kini dilaporkan dalam keadaan kritikal,” kata seorang pegawai jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah.
Menurutnya, pasukan bomba dengan kekuatan tujuh anggota dari BBP Lahad Datu bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 12.26 tengah hari.
Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 1.30 petang sebelum ditamatkan tujuh minit kemudian.
“Pihak bomba turut memberi taklimat keselamatan kepada pemilik lokasi kejadian sebagai langkah pencegahan,” tambahnya.






