Lelaki Ada Rekod Lampau Jenayah, Dadah Ugut Mahu Bakar Rumah Bapa Sendiri

Lelaki Ada Rekod Lampau Jenayah, Dadah Ugut Mahu Bakar Rumah Bapa Sendiri

0
SHARE
Foto: Ihsan PDRM Tawau

TAWAU: Seorang lelaki memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah ditahan polis selepas bertindak mengugut untuk membakar rumah bapanya sendiri dalam kejadian di Felda Umas baru-baru ini.

Polis Tawau dalam satu kenyataan semalam memaklumkan mangsa, iaitu bapa suspek yang berusia 60-an melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis selepas menerima ugutan itu. 

“Hasil siasatan, semasa berada di rumah di Felda Umas, seorang lelaki didatangi anaknya yang tiba-tiba mengamuk dan bertengkar lalu mengugut akan membakar rumah yang didiami.

“Risau dengan ugutan tersebut, mangsa tampil membuat laporan polis,” jelas kenyataan itu di sini.

Susulan laporan yang dibuat, polis telah menjalankan operasi bagi mengesan dan berjaya menahan suspek seorang warga tempatan berusia 40-an di kawasan Felda Umas.

“Hasil semakan rekod jenayah lampau juga mendapati suspek terlibat dengan pelbagai kes melibatkan dadah dan jenayah di sekitar Sabah.

“Suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” tambah kenyataan itu.