Suspek Kes Lepas 8 Das Tembakan Dalam Mall Miliki 11 Rekod Lampau...

Suspek Kes Lepas 8 Das Tembakan Dalam Mall Miliki 11 Rekod Lampau Jenayah, Dadah, Kini Giat Dikesan Polis

0
SHARE

SELANGOR: Polis Selangor kini giat mengesan suspek terlibat kes melepaskan lapan das tembakan dalam sebuah pusat beli belah di Setia Alam, semalam.

Suspek yang dikenal pasti merupakan seorang warga tempatan, berusia lingkungan 30-an turut dikesan mempunyai 11 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam mengenai kejadian itu pada jam 10.50 malam.

“Hasil siasatan mendapati, mangsa dalam kejadian ini bekerja sebagai tukang cuci di mall tersebut dan ketika hendak menyimpan peralatan mencuci di aras P1, tiba-tiba suspek telah melepaskan tembakan sebanyak empat das mengenai kaki dan punggung mangsa. 

“Dalam keadaan mengalami kecederaan tersebut, mangsa terus melarikan diri masuk ke dalam mall untuk mendapatkan bantuan, manakala suspek lari ke aras P2.

“Suspek kemudian telah bertindak melepaskan beberaoa das tembakan mengenai cermin tingkap tangga dan pintu sliding door di aras P2 sebelum terus melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Hussein berkata, suspek kemudian bertindak menahan sebuah kereta jenis Perodua Ativa yang dipandu oleh seorang pengunjung mall itu sambil mengacukan pistol dan memaksa membawanya keluar dari kawasan Shah Alam.

“Ketika melalui sebuah lebuhraya, suspek telah minta berhenti di tepi jalan lalu menghilangkan diri,” katanya.

Tambah Hussein, ekoran kejadian itu, pihak polis telah menerima sebanyak tujuh laporan polis yang dibuat oleh saksi awam dan kesemua saksi terbabit telah tampil memberi keterangan kepada pihak polis.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman mati dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun jika sabit kesalahan.

“orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dan berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah ASP Mohd Afandi Ahmad di talian 017252948 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah Shah Alam di talian 03-5520 2222,” jelasnya.