Aidiladha Eratkan Silaturahim, Pupuk Nilai Pengorbanan – Victor

Aidiladha Eratkan Silaturahim, Pupuk Nilai Pengorbanan – Victor

0
SHARE

TAMBUNAN: Sambutan Hari Raya Aidiladha bukan sahaja memberi ruang untuk bermuhasabah dan memperbaiki diri, malah mampu mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan, Datuk Victor P. Paut berkata, Aidiladha merupakan satu perayaan istimewa bagi umat Islam yang mengingatkan tentang nilai pengorbanan, kesabaran dan keikhlasan.

“Setiap ibadah yang dilakukan seperti solat, ibadah korban dan membantu golongan memerlukan adalah satu bentuk pengorbanan yang perlu dilaksanakan dengan hati yang ikhlas serta penuh kesyukuran,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd berkata, Aidiladha wajar dijadikan landasan untuk menyemai kasih sayang, amalan bermaaf-maafan serta mengukuhkan hubungan sesama keluarga, sahabat dan masyarakat.

Menurutnya, walaupun perayaan itu khusus kepada umat Islam, sambutan secara bersama dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum telah lama menjadi amalan di Sabah.

“Semangat kebersamaan ini mencerminkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk yang perlu terus dipelihara,” katanya.

Victor turut berharap agar Aidiladha membawa keberkatan, kebahagiaan dan kedamaian kepada semua lapisan masyarakat.