KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) perlu mengakui dan bertanggungjawab terhadap peranannya dalam pembatalan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi Lebuhraya Pan Borneo Sabah pada 2019, bukannya hanya menuding jari kepada pemimpin parti lain.
Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Thien Ee Hang berkata, Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking tidak sepatutnya menyalahkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semata-mata tanpa menjelaskan penglibatan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal dalam mencadangkan pembatalan model berkenaan.
Katanya, Shafie sendiri mengakui di Dewan Rakyat pada 19 Oktober lalu bahawa beliau secara peribadi mencadangkan pemansuhan model PDP kepada Lim dan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, semasa menjadi Ketua Menteri Sabah pada 2019.
“Ironinya, Shafie sendiri mengakui di Dewan Rakyat bahawa beliau yang mencadangkan pemansuhan model PDP kepada Kerajaan Persekutuan.
“Pengakuan itu direkodkan dalam Penyata Rasmi Parlimen (Hansard). Darell tidak boleh berpura-pura seolah-olah perkara itu tidak pernah berlaku,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Thien berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Darell pada Kongres Wanita dan Pemuda Warisan yang menurutnya hanya menumpukan kepada pengumuman pembatalan oleh Lim tanpa menyebut peranan Shafie.
Beliau mengakui bahawa Lim dan Kerajaan Persekutuan memikul tanggungjawab pentadbiran terhadap keputusan berkenaan, namun perkara itu tidak menafikan peranan Shafie yang turut mencadangkannya.
“Mengapa Darell menghalakan semua kritikannya kepada Lim tetapi enggan mempersoalkan presiden partinya sendiri berhubung cadangan yang dikemukakan beliau?” soalnya.
Menurut Thien, laporan The Edge pada 21 Mac 2019 turut merekodkan pengesahan Shafie bahawa Kerajaan Sabah mencapai kata sepakat untuk menghentikan model PDP swasta selepas mengadakan perbincangan dengan Lim dan Menteri Kerja Raya ketika itu, Baru Bian.
Katanya, pada 25 April tahun sama, Shafie turut menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan dan mempersoalkan aturan yang membenarkan syarikat swasta menguruskan dana projek berjumlah RM16 bilion.
Beliau turut merujuk laporan Bernama bertarikh 22 Mac 2024 yang memetik bekas Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berhubung perubahan model pelaksanaan projek susulan cadangan kerajaan negeri untuk menamatkan model PDP.
Selain itu, Thien mendakwa bekas anggota Kabinet Negeri di bawah pentadbiran Warisan, Phoong Jin Zhe pernah memaklumkan kepadanya bahawa Shafie berulang kali menyuarakan sokongan terhadap pemansuhan model berkenaan dalam mesyuarat Kabinet Negeri.
“Jika anda menyokong sesuatu keputusan, anda mesti bersedia untuk bertanggungjawab terhadapnya.
“Warisan perlu menjelaskan pendirian tersebut secara terbuka dan tidak boleh lepas tangan dengan menuding jari kepada pihak lain apabila timbul masalah,” katanya.
Bagaimanapun, Thien menegaskan kelewatan projek Pan Borneo tidak boleh dikaitkan dengan satu keputusan semata-mata kerana turut melibatkan prestasi kontraktor, isu pengambilan tanah serta perubahan pentadbiran dan proses perolehan.
Katanya, Laporan Ketua Audit Negara juga mengenal pasti kelewatan ketara ketika pelaksanaan model PDP asal, justeru semua faktor perlu dinilai secara menyeluruh.
“Perbincangan yang serius mesti meneliti masalah yang wujud sebelum pembatalan, sebab model pelaksanaan diubah dan kesan daripada perubahan tersebut.
“Jangan memperlekehkan kebijaksanaan rakyat Sabah. Mengulangi naratif politik yang berat sebelah tidak akan memadamkan rekod awam atau penglibatan parti sendiri.
“Rakyat berhak mendapat jawapan yang jujur dan Warisan mesti bersedia bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuatnya sendiri,” katanya.






