
KOTA KINABALU, SABAH – Mantan Ketua Staf Bahagian Operasi Laut, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik telah dilantik sebagai Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang baharu berkuatkuasa 10 Julai lalu.
Ia bagi menggantikan Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah yang kini mengisi jawatan sebagai Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya.
Majlis Serah Terima Tugas berkenaan telah disaksikan oleh Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim di Ibu Pejabat Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di sini, semalam.
Datuk Saiful Lizan dalam ucapan beliau berkata, momentum yang telah dihasilkan oleh pengarah sebelum ini perlu diteruskan.
“Justeru saya berharap agar Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi dapat meneruskan pencapaian cemerlang Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sekaligus membawa organisasi ini ke peringkat yang lebih tinggi serta terus komited dan bersiap siaga dalam apa juga keadaan,” katanya.





