
KOTA KINABALU, SABAH – Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-70 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dimeriahkan oleh 15,000 orang.
Acara di Padang Merdeka bermula seawal 7.00 pagi membabitkan 88 kontinjen terdiri daripada badan beruniform, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan, agensi swasta, pertubuhan etnik dan para pelajar.
Aturcara dimulakan dengan Tun Juhar yang ditemani isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni menerima Tabik Hormat Diraja daripada Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Pasukan 22 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sri Kinabatangan, Sandakan diketuai Mejar Mohd Adam Ebi disertai tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat.
Acara kemudian disusuli dengan 17 das tembakan meriam oleh Rejimen Ke-6 Artileri Diraja diketuai Leftenan Kolonel Azmi Sidek dengan kekuatan tiga pegawai serta 30 anggota lain-lain pangkat sambil Tun Juhar memeriksa KKU.
Kemudian, nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku menyusuli sebelum kontinjen jabatan kerajaan berpakaian seragam rasmi berarak masuk padang.
Kontinjen Pasukan Perbarisan diketuai Leftenan Kolonel Rozman Mohammad daripada Tentera Darat Malaysia melapor serta menjemput Tun Juhar memeriksa perbarisan.
Pemeriksaan Kontinjen Perbarisan oleh Tun Juhar diiringi Panglima 5 Divisyen menggunakan Kenderaan Istiadat dan diserikan alunan muzik oleh Pancaragam Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sabah diketuai Inspektor Wilbonoh Zain.
Selepas itu Tun Juhar naik semula ke pentas utama diiikuti persembahan kawad formasi Sekolah Henry Gurney (SGH II) Keningau yang menunjukkkan semangat sepasukan berpegang teguh kepada slogan We Shall Rise Again bermaksud bangkit semula.
Seterusnya, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) menghidangkan persembahan khas colossal dance berkonsepkan Malaysia Madani.
Hadir sama dalam majlis, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Julia Salag.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Kadzim M Yahya, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-70 TYT Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, jemaah kabinet negeri, ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri. — JABATAN PENERANGAN SABAH