KOTA KINABALU: Seramai 30 pelajar Sabah berlepas ke Mesir hari ini untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar dan Shoubra dengan tajaan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) melalui Tabung Zakat dan Fitrah.
Pelajar berkenaan terdiri daripada 15 Syariah Islamiah, 11 Usuluddin, tiga Qiraat dan seorang Bahasa Arab dengan jumlah seimbang lelaki dan wanita. Mereka menerima dermasiswa RM9,000 setahun, tiket penerbangan dan wang saku RM2,000.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kebanyakan lepasan Mesir sebelum ini kini berkhidmat di Sabah, sama ada dalam bidang pendidikan, pentadbiran agama, atau bersama MUIS dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
“Anak-anak Sabah ini telah membuktikan mereka boleh berjaya. Ada yang menjadi pengarah dan pegawai kanan agama. Maka saya yakin kumpulan baharu ini juga akan menabur bakti apabila pulang nanti,” katanya.
Beliau turut mengimbas pengalamannya menuntut di Mesir, termasuk cabaran cuaca sejuk.
“Masa musim sejuk mau tidur saja, tapi orang Sabah tidak macam itu. Kita boleh biasakan diri, belajar dan akhirnya berjaya,” katanya sambil mengingatkan pelajar supaya bergaul dengan masyarakat tempatan, terutama orang Arab, untuk menguasai bahasa al-Quran.
Dr. Mohd Arifin menasihatkan pelajar agar aktif bersama Persatuan Penuntut Sabah Mesir (PTPSM) kerana ia menjadi wadah kebajikan, pembelajaran berorganisasi dan sokongan sesama anak Sabah di perantauan.
Menurutnya, Sabah memiliki dua rumah penempatan pelajar di Kaherah dan Iskandariah, namun kini tumpuan dikekalkan di Kaherah bagi memudahkan pengawasan dan keselamatan pelajar.
“Kita akan bincang dengan kerajaan negeri untuk menambah baik kemudahan rumah Sabah di Kaherah,” ujarnya.
Dalam sidang media selepas majlis pada Ahad, Dr. Mohd Arifin mendedahkan perbincangan dengan pihak Darul Ifta’ Mesir untuk membolehkan pelajar Sabah mengikuti kursus fatwa semasa cuti pengajian.
Katanya, usaha itu berpotensi menjadikan Sabah sebagai pusat latihan kefatwaan serantau.
“Kita mahu Sabah menjadi hub keilmuan fatwa untuk Malaysia, Brunei dan Indonesia. Darul Ifta’ telah bersetuju memberi peluang kepada anak-anak Sabah, dan kita akan meterai MOU termasuk dengan Universiti Al-Azhar,” jelasnya.
Beliau turut menggesa bidang perubatan, pergigian dan farmasi dikembalikan sebagai antara laluan pengajian untuk anak Sabah ke luar negara, sepertimana pernah dilakukan MARA.






