LDP Tempelak Warisan: Korporatisasi Air Bukan Jual Negeri, Rakyat Sabah Dahaga Air...

LDP Tempelak Warisan: Korporatisasi Air Bukan Jual Negeri, Rakyat Sabah Dahaga Air Bukan Politik

0
SHARE

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP), Sim Fui menolak dakwaan Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong bahawa rancangan kerajaan negeri mengkorporatkan Jabatan Air Sabah (JANS) ibarat “menjual” kepada pihak swasta dan bakal menaikkan tarif.

Sim menegaskan korporatisasi adalah reformasi tadbir urus, bukan penswastaan.

“Ia menukar jabatan kerajaan menjadi syarikat milik penuh kerajaan negeri bagi meningkatkan kecekapan, akauntabiliti dan pengurusan berasaskan prestasi,” tegasnya.

Beliau berkata langkah itu perlu bagi menangani kadar Air Tidak Berhasil (NRW) Sabah sekitar 57 peratus, tertinggi di negara ini.

“Separuh air dirawat hilang akibat kebocoran dan kecurian. Reformasi struktur tidak dapat dielakkan,” katanya.

Sim memberi contoh kejayaan PBAPP di Pulau Pinang dan Air Selangor yang beroperasi di bawah pemilikan penuh kerajaan negeri, dengan NRW masing-masing sekitar 28 peratus dan 27 peratus.

Katanya, sebarang semakan tarif di Sabah akan melalui proses telus serta kawal selia, sekali gus menangkis dakwaan Warisan kononnya bil air akan meningkat mendadak.

Sim turut mengingatkan bahawa bekas Pengarah JANS era Warisan, Datuk Ir. Dr. Amarjit Singh, sendiri menyokong korporatisasi sebagai langkah menangani ketirisan.

“Sabahan mahu paip berfungsi, bukan retorik politik. Selagi ia kekal milik penuh kerajaan negeri, korporatisasi adalah langkah praktikal memperbaiki sistem air,” tambahnya.