KOTA KINABALU: Kementerian Pengangkutan Malaysia telah meluluskan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti Kota Kinabalu (SBST), yang bakal memperkenalkan perkhidmatan bas moden berhawa dingin dan efisien untuk meningkatkan kemudahan penduduk serta pelawat.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, berkata program ini adalah langkah penting memodenkan pengangkutan awam, mengurangkan kesesakan, dan mewujudkan persekitaran bandar lebih lestari.
“Pelancaran SBST di Kota Kinabalu adalah satu detik bersejarah bagi bandar ini.
“Kita memberi respons terhadap permintaan yang semakin meningkat untuk pilihan pengangkutan yang lebih baik, dan program ini akan memenuhi keperluan tersebut,” katanya.
Awal tahun ini, Ketua Menteri Sabah telah melantik Phoong sebagai Menteri Penyelaras Pengangkutan Awam Kota Kinabalu bagi menyelaras usaha pelbagai agensi termasuk DBKK, JPJ dan LPKP, serta menaik taraf hentian bas di lokasi tumpuan seperti lapangan terbang dan hospital.
Sistem baharu ini akan mempunyai 8 laluan utama, 155 hentian bas, dan berpusat di KK Sentral.
Ciri moden termasuk sistem tiket elektronik, GPS masa nyata, jadual tetap dan perkhidmatan yang boleh dipercayai.
Salah satu laluan akan menghubungkan KK Sentral ke Karamunsing, Mahkamah Tinggi, Luyang, Foh Sang, Damai, SM Tshung Tsin, Kompleks Sukan Likas, SICC dan pusat bandar.
“Ini hanyalah permulaan. Kita mempunyai visi jelas untuk meningkatkan pengangkutan awam di seluruh negeri, dan saya yakin program SBST akan memberi sumbangan besar kepada peningkatan kualiti hidup di bandar serta keberkesanan pengangkutan,” tambahnya.
Selepas KK, SBST akan diperluas ke Sandakan dan Tawau. Laluan pertama dijangka mula beroperasi tidak lama lagi dengan pelaksanaan penuh pada tahun depan.






