KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dikatakan sejak awal telah menggerakkan gerakan senyap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menekan pihak berkuasa menyiasat kematian tragis Zara Qairina.
Langkah itu dibuat secara tersusun untuk mengelak kebocoran maklumat dan gangguan siasatan.
Sumber dalaman menolak dakwaan pembangkang bahawa Hajiji hanya bertindak baru-baru ini, sebaliknya beliau memantau rapat sejak kes mula tular, terutama selepas timbul maklumat berkaitan unsur buli.
Hajiji tidak mengeluarkan kenyataan awal demi menghormati proses undang-undang dan menunggu kenyataan rasmi pihak polis atau Peguam Negara.
Beliau juga dilapor menerima laporan siasatan secara langsung dan menegaskan tiada campur tangan politik, walaupun melibatkan individu berpengaruh.
Dalam kenyataan hari ini, Hajiji meminta rakyat memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan telus sehingga semua suspek dibawa ke muka pengadilan.
Gerakan pro-GRS yang digerakkan sejak awal masih aktif menyokong pihak berkuasa, dengan matlamat memastikan keadilan ditegakkan tanpa mengira status atau kedudukan.
Sumber berkenaan turut mengingatkan agar rakyat tidak terpedaya dengan cubaan memutar-belit fakta, sambil menegaskan perjuangan menuntut keadilan untuk Zara akan diteruskan.






