SESB NAFI MESEJ TULAR BEKALAN AKAN TERPUTUS DI SELURUH SABAH

SESB NAFI MESEJ TULAR BEKALAN AKAN TERPUTUS DI SELURUH SABAH

0
SHARE
Foto: SESB

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menafikan kenyataan gambar tular hari ini yang disunting dengan ayat ‘2-4pm atau 6-8pm blackout harini seluruh Sabah’.

Jelas syarikat tersebut, catuan bekalan elektrik akan dijalankan secara bergilir hanya jika ada keperluan.

Katanya catuan tersebut hanya apabila permintaan bekalan elektrik lebih tinggi daripada penjanaan tenaga elektrik untuk memastikan sisten grid elektrik berada dalam keadaan terkawal.

“SESB akan memastikan bekalan elektrik ke seluruh negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal stabil,” katanya dalam sebuah kenyataan balas pada petang Rabu.

SESB di Facebook pada sebelah pagi telah mengeluarkan infografik makluman kemungkinan berlakunya catuan bekalan tenaga elektrik membabitkan 12 daerah.

Syarikat itu menjangkakan lebih kurang 10 peratus dari 413,983 pengguna akan terjejas dalam kala 2-3 jam.

Jelasnya ia kerana kapasiti tersedia adalah pada 1073MW tetapi beban puncak setakat pukul 3 petang adalah 1118MW.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Ts. Mohd Yaakob Hj Jaafar menyatakan harapan bahawa projek ‘Southern Link’ yang bakal melengkapkan Grid Negeri Sabah akan dapat dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Sekiranya projek ini diluluskan untuk pelaksanaan pada tahun hadapan, ianya dijangka akan dapat disiapkan pada tahun 2030.

“Ia amat kritikal kerana lebih kurang 200MW keperluan tenaga elektrik di Pantai Timur Sabah masih ditampung oleh penjanaan daripada Pantai Barat Sabah,” katanya dalam sebuah kenyataan.