KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian memukul seorang lelaki menggunakan topi keledar di hadapan sebuah premis di KK Taipan, Inanam, pada malam Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, suspek warga tempatan itu ditahan di Kampung Melalin, Tuaran, kira-kira jam 12.45 tengah malam Isnin.
Beliau berkata, tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
“Kejadian berlaku pada malam 10 Oktober lalu membabitkan seorang lelaki berusia 23 tahun yang dipercayai dipukul menggunakan topi keledar.
“Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa pada 11 Oktober, kira-kira jam 5.48 petang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Shahrudin berkata, usaha mengesan suspek lain yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan masih diteruskan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam kejadian ini.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau mengeluarkan komen berunsur provokasi di media sosial yang boleh menjejaskan siasatan serta mencetuskan kegusaran awam,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan profesional.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau mana-mana balai polis berhampiran.






