Enggan Hadiri Kelas Mengaji, Remaja Perempuan Reka Cerita Diculik

Enggan Hadiri Kelas Mengaji, Remaja Perempuan Reka Cerita Diculik

0
SHARE
Culik
Remaja perempuan yang mendakwa dirinya diculik ( Sumber Foto: Gambar tular di laman media sosial )

KOTA KINABALU, SABAH – Dakwaan seorang remaja perempuan yang kononnya menjadi mangsa culik sebelum berjaya meyelamatkan diri hanyalah rekaan kerana enggan menghadiri kelas mengaji.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda menasihati orang ramai, terutamanya golongan remaja, supaya tidak mereka-reka cerita berkenaan kes jenayah.

“Tindakan tersebut boleh menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat.

“Ianya juga menjadi satu kesalahan membuat laporan palsu,” katanya dalam sebuah kenyataan semalam.

Dalam satu siaran yang tular di Facebook pada Khamis, perempuan terbabit mendakwa diculik oleh sekumpulan lelaki yang menaiki van putih di Tanjung Aru.

Remaja itu berkata dia sempat melarikan diri ketika kenderaan tersebut dihentikan kerana salah seorang penculik ingin membuang air kecil berhampiran hotel Sutera Harbour.

Dakwanya lagi, dia kebetulan mendapat bantuan seorang lelaki dewasa, seorang penduduk Kampung Baru, sebelum duduk menunggu di perkarangan Wisma SEDCO.

“Polis Kota Kinabalu juga menasihati orang ramai supaya tidak sewenangnya memuat naik sebarang gambar atau kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dan kegusaran orang ramai,” tegas Kasim.