Rocktimatum Fest 2026 Semarakkan Muzik Rock di Sandakan, Satukan Peminat Pelbagai Generasi

Rocktimatum Fest 2026 Semarakkan Muzik Rock di Sandakan, Satukan Peminat Pelbagai Generasi

0
SHARE

SANDAKAN: Dewan Tiong Hua Sandakan menjadi medan pertemuan pemuzik dan peminat muzik dari seluruh Sabah apabila Rocktimatum Fest 2026 berlangsung pada 3 Oktober lalu, dari pukul 2 petang hingga 11 malam.

Festival anjuran Don Legacy Resources itu menerima kehadiran dianggarkan lebih 1,000 penonton daripada pelbagai lapisan umur, memperlihatkan sokongan terhadap muzik rock serta persembahan secara langsung di Sabah.

Tujuh kumpulan muzik — Search, The Times, Sil Khannaz, Tebabo!, Tuni Sundatang, Renewar dan The Atlus — tampil memeriahkan festival.

Pertemuan artis nasional dan pemuzik tempatan dalam satu pentas turut memberikan peluang kepada bakat Sabah untuk memperkenalkan karya mereka kepada khalayak yang lebih luas.

Selain persembahan, Rocktimatum Fest 2026 menjadi ruang untuk peminat pelbagai generasi berkumpul dan berkongsi minat. Sambutan tersebut memberikan dorongan kepada pihak penganjur untuk terus menyumbang kepada perkembangan industri muzik tempatan.

Don Legacy Resources merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures atas sokongan menerusi Dana Kandungan Kreatif – Industri Muzik, Dana Persembahan Muzik yang membantu merealisasikan festival ini.

Pihak penganjur berharap sokongan kerajaan akan terus diberikan bagi mengangkat industri muzik Sabah, membuka lebih banyak peluang kepada pemuzik tempatan serta memperkukuh peranan tenaga produksi dan penggiat seni.

Penghargaan turut ditujukan kepada semua artis, kru produksi, petugas, rakan kerjasama, pihak venue dan penonton yang menjayakan acara. Rakan-rakan media yang turut serta membuat liputan dan membantu hebahan festival juga diberi penghargaan atas peranan mereka dalam mengetengahkan perkembangan muzik Sabah.

Semangat kebersamaan yang ditunjukkan sepanjang Rocktimatum Fest 2026 diharap dapat mendorong lebih banyak acara muzik yang menghubungkan pemuzik, peminat dan komuniti di negeri ini.