KOTA KINABALU, SABAH – Tiada kluster baru dilaporkan hari ini, namun jumlah kes baharu positif COVID-19 di Sabah mencatatkan peningkatan yang agak ketara dengan kenaikan 111 kes iaitu daripada 207 kes kelmarin (Isnin) kepada 318 kes.
Datuk Seri Masidi Manjun berkata daripada 318 kes jangkitan baharu hari ini, 217 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat.
“Empat puluh empat (44) kes adalah daripada saringan kluster, 29 kes adalah daripada saringan bergejala, 16 kes daripada saringan bersasar dan 12 kes adalah daripada lain-lain kes…
“Terdapat 13 daerah yang mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan lapan daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka, manakala lima lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka iaitu Tawau 90 kes (+62), Lahad Datu 43 kes (+31), Kota Belud 22 kes (+12), Kalabakan 12 kes (+11) dan Papar 13 kes (+10),” katanya.
Walau bagaimanapun, LAPAN (8) daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes.
“Tujuh daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka manakala satu daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua angka iaitu Sandakan (-31)…
“Pada hari ini, tujuh daerah mencatatkan sifar kes iaitu Beluran, Telupid, Tongod, Pitas, Kota Marudu, Keningau dan Tambunan.
“Perubahan kes bagi setiap daerah adalah tidak statik kecuali daerah-daerah yang masih mengekalkan status Zon Hijau dan berlakunya peningkatan kes menunjukkan kebarangkalian bahawa masih terdapat ketidakpatuhan SOP di kalangan masyarakat,” tambah beliau.
Jurucakap berkenaan COVID-19 negeri itu menegaskan bahawa keberkesanan penurunan kes dalam membendung penularan pendemik COVID-19 sangat bergantung kepada kesungguhan komuniti mematuh SOP kendiri dan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.