MCMC SEGERA JALANKAN KERJA BAIK PULIH MENARA TELEKOMUNIKASI TERBAKAR DI TELUPID SELEPAS...

MCMC SEGERA JALANKAN KERJA BAIK PULIH MENARA TELEKOMUNIKASI TERBAKAR DI TELUPID SELEPAS TULAR PELAJAR BELAJAR ONLINE DALAM BONET KERETA

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang menjalankan kerja-kerja membaik pulih sebuah menara telekomunikasi yang dilaporkan terbakar di Telupid pada 25 Mac lepas.

Dalam kenyataan kelmarin (8 April), MCMC memaklumkan pihaknya bersama penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbabit akan berusaha menyelesaikan kerja-kerja membaik pulih menara itu secara berperingkat.

Tindakan MCMC ini dilakukan segera selepas tularnya kisah seorang pelajar semester enam di salah sebuah institusi pengajian tinggi yang terpaksa memandu sejauh 10 hingga 15 kilometer demi mencari liputan internet sehingga terpaksa belajar dalam bonet kereta selepas menara telekomunikasi itu terbakar.

VIDEO tular yang dirakam oleh seorang pelajar UPSI yang terpaksa menjalani pembelajaran ‘online’ di dalam bonet kereta…

“Sehingga kini, perkhidmatan DIGI telah pulih dan beroperasi seperti biasa, manakala bagi perkhidmatan Celcom dan Maxis pula dijangka pulih dan beroperasi dalam tempoh dua minggu lagi,” menurut kenyataan itu.

MCMC turut menasihatkan para pelajar dan penduduk setempat supaya sentiasa mementingkan keselamatan diri dan sebagai langkah sementara, mereka boleh mengunjungi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Pekan Telupid.

“Ini bagi memastikan mereka mendapat liputan internet di tempat lebih selamat serta selesa sehingga proses membaik pulih selesai dan menara telekomunikasi tersebut beroperasi seperti biasa tidak lama lagi,” kata MCMC.