Naim Tidak Minat Lamag, Patut Diberikan Kepada Anak Jati Kawasan

Naim Tidak Minat Lamag, Patut Diberikan Kepada Anak Jati Kawasan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Umno Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar menegaskan beliau tidak berminat bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Lamag bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan ayahnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Mohd Naim, yang disebut-sebut sebagai antara calon pengganti, berkata kerusi Lamag wajar diberikan kepada individu yang benar-benar lahir dan membesar di kawasan itu supaya perjuangannya dapat diteruskan dengan lebih tulen.

Katanya, walaupun ramai mahu beliau mengambil alih tempat ayahnya, keputusan muktamad tetap terletak pada parti dan beliau menghormati apa jua ketetapan yang dibuat.

“Suara Lamag mesti terus bergema,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau turut menggariskan beberapa kriteria calon yang wajar dipilih iaitu mesti anak jati Lamag, berusia 50 tahun ke bawah, berpendidikan dan setia kepada perjuangan parti.

Bung meninggal dunia pada 5 Disember di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, kurang seminggu selepas memenangi kerusi itu untuk penggal kedua pada PRN Sabah ke-17.

Dalam pilihan raya tersebut pada 29 November, Bung mempertahankan Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.

Di peringkat nasional, Bung mula sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan selepas menang pada PRU10 pada 1999 dan berkhidmat selama enam penggal berturut-turut.

Pada 9 Disember, Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus memaklumkan satu mesyuarat khas akan diadakan pada 16 Disember bagi menetapkan tarikh penting untuk PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.