Suami ‘Wanted’ Sejak September Ditahan, Disyaki Hentak Kepala Isteri Guna Kipas Angin

Suami ‘Wanted’ Sejak September Ditahan, Disyaki Hentak Kepala Isteri Guna Kipas Angin

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki yang dikehendaki polis sejak September lalu akhirnya diberkas selepas disyaki mencederakan isterinya dalam kejadian keganasan rumah tangga di Felda Umas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian berlaku pada September kira-kira jam 1.15 tengah hari ketika mangsa, seorang wanita tempatan berusia 34 tahun, berada di bilik rumah mereka sebelum suspek berang kerana tidak diberikan RM10 yang diminta.

Pertengkaran itu kemudian bertukar ganas apabila suspek menghentak kepala mangsa menggunakan kipas angin sehingga menyebabkan kecederaan.

“Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau berjaya mengesan dan menangkap suspek berusia 43 tahun kira-kira jam 7.30 malam di kediaman sama.

“Suspek turut mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga serta berstatus wanted person,” katanya.

Polis turut merampas sebuah kipas angin berjenama yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga. Champin berkata semakan rekod lampau suspek sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan keganasan rumah tangga, dan tindakan tegas serta pendakwaan akan diambil tanpa mengira hubungan keluarga.

Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membiarkan konflik rumah tangga berlarutan sehingga mencetuskan keganasan serta segera mendapatkan bantuan pihak berkuasa sekiranya keselamatan terancam.