KOTA KINABALU: Sambutan luar jangka diterima program Kursus Komunikasi: ‘Speak with Confidence, Deliver with Impact’ anjuran Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) apabila kira-kira 480 peserta hadir, melebihi jangkaan awal sekitar 350 orang.

Pengarah IKRAR, Dr. Zainuddin Sabu berkata, penyertaan itu membabitkan pelbagai lapisan masyarakat dengan majoritinya terdiri daripada penjawat awam, selain mahasiswa, pemimpin persatuan, pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, sambutan berkenaan menunjukkan terdapat keperluan dan minat yang tinggi terhadap program pembangunan kemahiran komunikasi, khususnya dalam melahirkan individu serta pemimpin yang mampu menyampaikan mesej dengan lebih berkesan dan berkeyakinan.
“Pada awalnya kita menjangkakan sekitar 350 peserta, namun kehadiran mencecah kira-kira 480 orang daripada pelbagai latar belakang.
“Majoriti penyertaan adalah dalam kalangan penjawat awam, selain mahasiswa, pimpinan persatuan, pimpinan masyarakat dan NGO. Sambutan yang diterima memang di luar jangkaan,” katanya ketika ditemui media pada program berkenaan di sini, semalam.
Zainuddin berkata, kemahiran komunikasi yang baik merupakan antara elemen penting dalam kepimpinan, terutama bagi memastikan sesuatu mesej dapat disampaikan dengan jelas dan berkesan kepada masyarakat.
Katanya, maklum balas positif yang diterima daripada peserta turut mendorong pihaknya untuk meneruskan penganjuran program seumpama itu pada masa akan datang.
“Secara keseluruhannya, program ini menerima maklum balas yang sangat luar biasa. Kita melihat program seperti ini memang diperlukan dan kita berharap dapat meneruskannya pada masa akan datang.
“Kita juga mahu pengisian program akan datang memberikan impak yang lebih menyeluruh kepada peserta,” katanya.

Program ‘Speak with Confidence, Deliver with Impact’ menampilkan Rizal Rashid sebagai penceramah dengan memberi tumpuan kepada peningkatan keyakinan serta kemahiran komunikasi dan penyampaian dalam kalangan peserta.






