SICC Jadi Pentas Sambutan Hari Malaysia Ke-63 Sabah, 16 September

SICC Jadi Pentas Sambutan Hari Malaysia Ke-63 Sabah, 16 September

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah International Convention Centre (SICC) bakal menjadi pentas utama Sambutan Hari Malaysia Ke-63 Peringkat Negeri Sabah 2026 yang akan berlangsung pada 16 September ini, bermula jam 8 malam.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, persiapan sambutan kini sedang diselaraskan dengan kerjasama semua kementerian, jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan acara berkenaan berjalan lancar.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Ke-63 Peringkat Negeri Sabah 2026 berkata, sambutan itu bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi wadah penting untuk menghayati sejarah pembentukan Malaysia serta memperkukuh semangat perpaduan, patriotisme dan kebersamaan dalam kalangan rakyat.

“Sabah mempunyai kedudukan yang amat penting dalam sejarah pembentukan Malaysia.

Sambutan ini harus menjadi ruang untuk kita mengenang perjuangan generasi terdahulu, di samping memperbaharui tekad untuk terus membina negara yang aman, maju dan bersatu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Terdahulu, Jafry mengetuai kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Ke-63 Peringkat Negeri Sabah 2026 kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman di Istana Seri Kinabalu, pada 9 September.

Kunjungan itu diadakan bagi menyampaikan sembah maklum kepada Musa mengenai persiapan serta pengisian sambutan yang bakal berlangsung di SICC.

Jafry turut merakamkan penghargaan atas kesudian Musa menerima kunjungan berkenaan, selain nasihat dan pandangan yang diberikan bagi memastikan sambutan itu dapat dilaksanakan dengan lancar serta penuh bermakna.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah bersama-sama menyemarakkan Sambutan Hari Malaysia Ke-63 sebagai manifestasi kecintaan terhadap negeri dan negara.

“Saya menyeru seluruh rakyat Sabah untuk bersama-sama menyemarakkan Sambutan Hari Malaysia Ke-63 sebagai manifestasi kecintaan kita kepada negeri dan negara, selaras dengan semangat Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya,” katanya.