NGO Cadang Agar Kerajaan Persekutuan Isytihar 31 Mei, 1 Jun Cuti Umum...

NGO Cadang Agar Kerajaan Persekutuan Isytihar 31 Mei, 1 Jun Cuti Umum Negara

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KUCHING, SARAWAK  Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dayak Sarawak mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan cuti umum pada 31 Mei dan 1 Jun di seluruh negara.

Ia berikutan sambutan Hari Gawai (1 dan 2 Jun) dan Kaamatan (30 dan 31 Mei) masing-masing di Sarawak dan Sabah.

Menurutnya lagi, cuti tambahan iaitu 30 Mei bagi Pesta Kaamatan dan 2 Jun bagi Hari Gawai Dayak tetap diguna pakai oleh Sabah dan Sarawak.

“Ia seiring dengan konsep Kerajaan Malaysia Madani yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Maka sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan mengiktiraf cuti perayaan ini…

“Jika dipersetujui, ia harus diwartakan sebagai cuti umum bagi seluruh negara mulai tahun ini,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin.

Tambahnya, pengisytiharan cuti pada 31 Mei dan 1 Jun di seluruh Malaysia penting kerana ia memberi gambaran layanan yang lebih baik oleh kerajaan Persekutuan terhadap Sabah dan Sarawak.

Selain, ia juga satu langkah yang boleh dilaksanakan untuk menghormati hak rakyat Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63).

“Kita yakin, pengisytiharan cuti umum ini memberi peluang kepada masyarakat Kadazan, Dusun, Murut, Rungus dan Dayak yang bekerja dan tinggal di merata tempat di seluruh Malaysia untuk pulang meraikan perayaan di kediaman masing-masing.

“Khususnya, mereka yang tidak dapat pulang ke kampung halaman di Sabah dan Sarawak.

“Sekali gus, usaha ini juga dapat memberi pengetahuan, pemahaman budaya dan tradisi kepada rakan-rakan tentang keunikan masyarakat majmuk di Malaysia, di samping meningkatkan kesedaran berkaitan perayaan suku kaum di Sarawak,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa amalan hormatmenghormati pelbagai agama dan kaum penting demi kestabilan politik, keamanan dan keharmonian dalam kepelbagaian masyarakat di negeri ini.

“Oleh itu, kita harap ia dapat disemai dan dipupuk dalam kalangan masyarakat di seluruh Malaysia menerusi perayaan Kaamatan dan Gawai Dayak di seluruh negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, perkara tersebut difikirkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Ricky Sani, Presiden Kongress Kebangsaan Dayak (DNC) Paul Raja, Presiden Persatuan Iban Sarawak (PAIS) Samuel Suring dan Pertubuhan Hak Asasi Orang Asal Sarawak (SCRIPS) Michael M Jok.

Selain, Setiausaha SADIA (Miri) Rafael Dru, Penasihat Persatuan Terabai Menua (TM) Wilfred Nissem, Presiden Persatuan Masyarakat Salako dan Rara Sarawak (PERASA) Robert Umping dan Presiden Persatuan Jaringan Tanah Hak Adat Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS) Romuald Siew turut terlibat.