LAHAD DATU, SABAH – Majlis Bacaan Yasin Yayasan Nur Jauhar (YNJ) di sini disertai kira-kira 100 muslimah daripada beberapa kelas pengajian sekitar Lahad Datu.
Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni dalam ucapannya berkata menerusi majlis seumpama kemahiran membaca Al-Quran dapat dipertingkatkan selain merapatkan silaturahim dalam kalangan peserta.
“Melalui majlis sebegini akan memberi peluang untuk bertukar-tukar fikiran serta idea dalam mempelajari ilmu Al-Quran di samping mengeratkan silaturahim sesama kita.
“Kelas pengajian masa kini sangat relevan dalam memberikan faedah kepada bukan sahaja yang menuntut ilmu bahkan kepada tenaga pengajar juga,” ujarnya.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan alunan selawat oleh murid-murid Sekolah Agama Rakyat Nurul Mustaqim. — JABATAN PENERANGAN SABAH