100 Asnaf Terima Sumbangan Yayasan Nur Jauhar

100 Asnaf Terima Sumbangan Yayasan Nur Jauhar

0
SHARE
Norlidah
Toh Puan Norlidah (tiga kiri) menyampaikan sumbangan kepada anak yatim disaksikan oleh Firuz (kanan), Al Hana (dua kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

LAHAD DATU, SABAH – Seramai 100 asnaf dari sekitar daerah ini menerima sumbangan daripada Yayasan Nur Jauhar (YNJ).

Penyampaian sumbangan berupa wang tunai itu disempurnakan oleh Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni dalam Majlis Penyerahan Sumbangan YNJ di sini, pada Ahad.

Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen Mohd Dzul berkata, selain meringankan beban golongan asnaf, sumbangan berkenaan juga sebagai motivasi warga pejabat daerah memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat kurang berkemampuan.

“Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada YNJ dia atas sumbangan yang akan diserahkan sebentar saja lagi, seperti yang kita sedia maklum YNJ sentiasa prihatin dan mengambil berat nasib yang dialami oleh golongan yang tidak berkemampuan dalam memenuhi hasrat pembangunan negeri.

“Kita amat bertuah kerana YNJ sentiasa memastikan kesejahteraan rakyat di negeri ini sentiasa diutamakan tanpa mengambil kira latar belakang kaum, tempat tinggal dan juga fahaman politik.

“Saya percaya dengan penyaluran sumbangan ini sedikit sebanyak akan dapat membantu meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik dan secara tidak langsung memberi motivasi dan iltizam kepada kami untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat setempat,” ujarnya.

Para penerima terdiri daripada 50 orang asnaf dan miskin yang dikenalpasti oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) Daerah Lahad Datu, 25 orang merupakan anak-anak yatim dari Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala, 25 lagi golongan ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang disenaraikan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.62 Silam.

Turut hadir, Timbalan Komisioner Penjara merangkap Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Nora Musa, Penolong Setiausaha YNJ, Datin Al Hana Suria Tun Juhar dan Pengerusi Puspanita Daerah Lahad Datu, Farah Riza Azizul Rahman. — JABATAN PENERANGAN SABAH